Wartawan Nabalu News

Jalan utama Penampang - Tambunan tidak boleh dilalui

Keadaan jalan yang runtuh menghubungkan Penampang ke Tambunan. Foto ehsan orang awam.

1 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

PENAMPANG: Banjir yang melanda daerah Penampang dan beberapa tempat di Sabah sejak petang kelmarin telah menyebabkan beberapa jalan utama di kawasan itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, antara jalan yang terjejas termasuk Jalan Penampang - Tambunan, Jalan Limbanak dan Jalan Pukakon-Pomotodon.

Kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Jalan Penampang - Tambunan berhampiran Kampung Timpoluon, Penampang.

Jalan terputus dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan, dan pihak konsesi juga tidak dapat melaksanakan kerja-kerja pembaikan kerana jalan masih dilanda banjir.

Banjir kilat juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Sipitang, termasuk Jalan Kota Kinabalu-Sindumin, kawasan pekan Sipitang dan Pasar Awam Sipitang.

Pihak berkuasa sedang memantau keadaan banjir dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membantu mangsa banjir.