top of page
nabalunews

1,000 Jalur Gemilang diagihkan kepada pengguna jalan raya di Sandakan

16 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN : Sebanyak 1,000 jalur gemilang dan bendera negeri Sabah diagihkan kepada pengguna jalan raya di hadapan Jabatan Perhutanan Sabah, Sandakan dan Jalan Batu Sapi, hari ini sempena Bulan Kemerdekaan.


Program Jalur Gemilang Jiwa Merdeka ini adalah anjuran bersama beberapa persatuan wanita, badan bukan kerajaan (NGO), politik serta pengasas kecantikan dan produk sekitar Sandakan.


Pengasas Persatuan Ratna Unggul Sabah (RATU), Sanjana Awang Zainal, yang ditemui media pada program itu menjelaskan, menerusi pemerhatian, masih banyak kenderaan awam yang tidak memasang bendera dan jalur gemilang di kenderaan mereka di Sandakan.


"Justeru, kami wanita dari pelbagai latar dan persatuan tampil mengagihkan bendera itu kepada pengguna jalan raya di daerah ini dalam sama-sama menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tidak lama lagi," katanya.


Jelasnya, kemerdekaan yang dikecapi sehingga kini juga wajar terus dihargai.


Manakala sejarah lalu juga perlu sentiasa diingati khasnya mereka yang banyak berjasa kepada negara yang dicintai ini pada masa yang lalu.


Sanjana mengucapkan terima kasih kepada semua rakan wanita dan pihak berkaitan yang telah menjayakan program itu.


Di Jalan Batu Sapi, Sandakan antara yang hadir menjayakan program itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Karamunting, Datuk Chew Kok Woh bersama pihak penganjur.

ความคิดเห็น


bottom of page