top of page
nabalunews

1,000 rumah setinggan akan diroboh



2 November 2024


KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyasarkan lebih 1,000 rumah setinggan yang dibina secara haram di atas tanah kerajaan, dirobohkan menjelang penghujung tahun ini.


Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, setakat ini sebanyak 709 rumah setinggan telah dirobohkan di kawasan seperti Numbak, Sepanggar, dan Kayu Madang, sehingga minggu lalu.


“Operasi ini akan diteruskan sehingga kita mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan iaitu 2,000 rumah bagi Sabah.


“Melihat kepada situasi sekarang, jumlah ini dijangka akan dicapai malah akan melebihi KPI keseluruhan berikutan IPD Kota Kinabalu menyasarkan untuk merobohkan lebih 1,000 setinggan haram sehingga hujung tahun ini,” katanya seperti dilaporkan Info X.


Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah terima tugas bagi jawatan Ketua Polis Balai Inanam, Luyang serta Alamesra di Balai Polis Inanam, di sini, kelmarin.


Kasim berkata, perobohan ditumpukan di kawasan yang banyak didiami oleh pendatang asing tanpa izin (PATI), lokasi penagihan dadah serta kawasan yang berpotensi untuk terlibat dalam kegiatan jenayah terutamanya kecurian kabel selain kecurian bekalan elektrik dan air.


Mengulas lanjut, Kasim berkata, sepanjang operasi perobohan itu dilaksanakan, pasukannya berdepan pelbagai cabaran antaranya kawasan berpaya yang menghalang jentera berat daripada masuk ke kawasan setinggan berkenaan.


“Oleh itu operasi perobohan struktur haram ini terpaksa dilakukan menggunakan sepenuh kudrat daripada anggota itu sendiri iaitu menggunakan tukul atau tali bagi merobohkan rumah setinggan.


“Pada masa sama kita juga berdepan dengan isu keselamatan kerana anggota polis perlu melalui jambatan yang tidak kukuh iaitu hanya sekeping kayu untuk ke kawasan setinggan.


“Untuk memastikan keselamatan lebih terjamin, kita juga bekerjasama dengan Sabah Elektricity Sdn Bhd dari segi pemeriksaan pemasangan sambungan elektrik haram yang didapati banyak dipasang di sepanjang laluan ke rumah setinggan,” katanya.


Beliau berkata, sepanjang operasi dilaksanakan, semua penghuni memberikan kerjasama untuk berpindah berikutan notis amaran sudah dikeluarkan sebulan lebih awal sebelum proses perobohan dijalankan.


“Untuk memastikan usaha perobohan ini lebih berkesan, pihak polis bekerjasama dengan pemilik tanah atau agensi berkaitan untuk melaksanakan tindakan susulan sebaik operasi perobohan dilaksanakan.


“Ia termasuklah meletakkan notis amaran untuk tidak memasuki kawasan terbabit serta memasang pagar dan bagi pihak polis sendiri, kita akan terbangkan dron dari Pusat Gerakan Udara (PGU) bagi memantau kawasan terbabit dan memastikan tiada pembinaan semula struktur haram di sana,” katanya.

Comments


bottom of page