1,091 projek naik taraf sekolah daif diluluskan, melibatkan RM8.5 bilion
12 Oktober 2024
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara telah diluluskan sehingga tahun ini, dengan kos keseluruhan mencecah RM8.5 bilion.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, KPM menyatakan bahawa daripada jumlah tersebut, 339 projek dilaksanakan di Sabah, 400 di Sarawak, dan 352 lagi di Semenanjung Malaysia.
Setakat 11 Oktober lalu, 717 projek telah siap sepenuhnya, 183 masih dalam pembinaan, 176 berada di peringkat prabina, manakala 15 projek sedang dinilai semula.
“Tempoh pelaksanaan projek ini adalah antara 6 hingga 36 bulan, bergantung kepada skop dan keperluan kerja penyediaan tapak,” jelas kenyataan itu.
Bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek ini, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Di samping itu, KPM turut menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk menyelaraskan pelaksanaan projek di pelbagai peringkat dan melaporkan statusnya kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia MADANI.
Comments