10,000 hadir sepanjang dua hari Karnival 3K USHWANE
9 Disember 2024
PENAMPANG: Karnival Keunikan, Kesenian dan Kebudayaan, 3K yang pertama kali dianjurkan Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) selama dua hari di Buhavan Square, Donggongon bermula Sabtu 7 Disember lalu sehingga Ahad 8 Disember, mendapat sambutan amat memberangsangkan dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung di sepanjang dua hari penganjurannya.
Orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke tapak karnival untuk mendapatkan pelbagai produk usahawan tempatan dan perkhidmatan di reruai yang disediakan selain memanfaatkan diskaun harga jualan Rahmah MADANI ANGKASA serta untuk berhibur.
Menurut pengerusi penganjur yang juga pengerusi USHWANE, Rowindy Lawrence, antara yang paling mendapat sambutan pengunjung adalah Jualan Rahmah MADANI ANGKASA dan Peladang Penampang di mana beras yang dijual pada harga istimewa, laris dibeli dalam masa singkat.
Katanya 300 kampit beras habis terjual dalam masa 30 minit sahaja sehingga bekalan 300 lagi kampit beras dihantar semula ke tapak karnival.
Majlis perasmian penutupan Karnival 3K USHWANE disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong dan Penasihat Kehormat Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog, merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk John Ambrose dan Presiden Persatuan Pelancongan Penampang, Ben Golimbi.
Dalam ucapannya di majlis perasmian penutupan Karnival 3K USHWANE, Rowindy berkata beliau amat berbesar hati dan berbangga melihat sokongan daripada semua pihak yang menjayakan karnival sulung USHWANE ini.
"Salah satu mesej utama yang ingin saya sampaikan malam ini adalah betapa pentingnya sinergi antara pelancongan dan keusahawanan kerana kedua-dua sektor ini saling melengkapi dan berpisah tiada," katanya.
Menurut Rowindy, di Sabah, industri pelancongan adalah antara sumber utama kepada ekonomi negeri.
"Produk-produk tempatan seperti kraftangan, tekstil, makanan tradisional dan seni budaya kita menjadi tarikan utama kepada pelancong.
"Dalam masa yang sama, ia juga memberikan peluang yang besar kepada usahawan untuk menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka," katanya.
Rowindy berkata Karnival 3K USHWANE ini telah membuktikan bahawa Sabah bukan sahaja kaya dengan budaya tetapi juga mempunyai peluang besar dalam bidang keusahawanan.
Beliau berbangga melihat pelbagai produk tempatan yang dipamerkan di Karnival 3k USHWANE yang dihasilkan menerusi hasil seni sehinggalah ke produk makanan.
Katanya semua ini adalah kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan di Sabah menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Rowindy berharap program seperti ini diteruskan dan diperluaskan ke daerah lain pula pada masa hadapan.
"Bukan sahaja untuk mempromosikan budaya dan seni melalui pameran seni dan pertandingan kebudayaan yang telah kita anjurkan, tetapi juga memperkukuhkan jalinan keusahawanan di kalangan masyarakat luar bandar, khususnya," katanya.
Menurut Rowindy, USHWANE komited untuk terus menyokong usahawan-usahawan wanita luar bandar, khususnya dengan membantu mengembangkan perniagaan mereka, dengan kerajaan Malaysia MADANI sebagai jambatan untuk merealisasikan
aspirasi itu.
Mengakhiri ucapannya, Rowindy merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Penampang, Persatuan Pelancongan Penampang, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi kerajaan yang telah mengambil bahagian di reruai yang disediakan di Karnival 3K USHWANE.
"Bukan hanya agensi dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang mengambil bahagian dalam reruai, tetapi juga agensi dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
"Juga penghargaan kami kepada Tik Tok Shop Malaysia, yang didatangkan khas untuk warga Penampang dan warga Sabah, untuk bersama-sama kita dan turut mengadakan bengkel Tik Tok sehari suntuk di D'Arc Hotel pada Sabtu. Terima kasih TikTok Shop Malaysia.
"Penghargaan juga kami ucapkan kepada ANGKASA negeri Sabah yang membuat Jualan Rahmah MADANI tanpa henti selama dua hari yang diserbu bertubi-tubi," katanya.
Rowindy turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyumbang topi keledar percuma kepada pengunjung Karnival 3K USHWANE dan KPJ Sabah Specialist Hospital yang memberikan baucar tunai atau Medical Cash Voucher bernilai RM1,500 dan hamper vitamin bernilai RM200 setiap satu kepada pengunjung serta kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran Karnival 3K USHWANE.
Sementara itu Khairul Firdaus dalam ucapan penutupannya, berkata seiring dengan teras utama dasar kebudayaan dan kesenian negara, kebudayaan adalah sektor yang dapat menyumbang ke arah peningkatan ekonomi menuju negara berpendapatan tinggi.
"Oleh itu produk perkhidmatan kebudayaan perlu dimantapkan melalui transformasi dan pengadaptasian teknologi terkini. Ini termasuklah meningkatkan kualiti dan kapasiti pengeluaran, memantapkan penjenamaan, melaksanakan aktiviti promosi dan pemasaran yang lebih agresif melalui platform yang sejajar dengan aliran semasa," katanya.
Acara hari kedua Karnival 3K USHWANE menyaksikan penampilan khas Enn Xaviera dan Rey Kimara sebagai pasangan pengacara majlis dan persembahan nyanyian oleh Maldini Sidney.
Maldini turut menyanyikan lagu secara duet bersama Rey Kimara.
Turut diadakan pertandingan akhir tarian
berkumpulan kreatif kebudayaan etnik Sabah dan penyampaian hadiah kepada pemenang serta cabutan tiket bertuah.
Acara pada hari kedua Karnival 3K USHWANE termasuk jualan dan pameran, pameran reruai agensi kerajaan, reruai tradisi dan reruai pelancongan.
Acara hari pertama Karnival 3K USHWANE termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak berkonsepkan 3K di mana 50 kanak-kanak mengambil bahagian yang dirasmikan oleh Petrus Conrad Mojuntin, Naib Ketua Bahagian PGRS N26 Moyog merangkap Setiausaha Sulit kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mewakili Setiausaha Politik Kanan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Caesar Mandela Malakun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang turut hadir di hari pertama karnival untuk merasmikan pertandingan Ratu Kebudayaan Kanak-Kanak di mana seramai 20 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
Turut hadir di hari pertama Karnival 3K USHWANE adalah Ahli Dewan Negara yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Senator Datuk Nelson Angang dan Carl Moosom, Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian dalam karnival 3K USHWANE adalah TikTok Shop Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, SME Corp, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Sabah, Kraftangan Malaysia, Penampang Tourism Association, Hospital Mesra Bukit Padang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), KPJ Sabah Specialist Hospital dan PERKESO.
Karnival 3K USHWANE bertujuan untuk mempamerkan keunikan, kesenian, dan kebudayaan di Sabah sambil memperkasakan usahawan wanita luar bandar untuk mengetengahkan hasil produk dan kreativiti mereka. Ini sejajar dengan inisiatif awal Tahun melawat Malaysia 2026 nanti.
Karnival 3K USHWANE dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Penampang (MPP).
Menurut Rowindy, pengisian program di sepanjang Karnival 3K USHWANE turut melibatkan penganjuran Kids Fun Time bersama persembahan badut, sesi podcast bersama agensi-agensi kerajaan yang melibatkan perbincangan mengenai perancangan agensi kerajaan untuk 2025 dan kemudahan kepada rakyat, taklimat pembiayaan oleh TEKUN Nasional, pertandingan karaoke dan cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah termasuk peti sejuk, TV, kipas, mesin basuh, ketuhar dan banyak lagi.
"Bengkel interaktif dan demonstrasi seperti anyaman rotan dan pembuatan kraftangan tradisional di reruai tradisi, turut dilangsungkan," katanya.
Comments