10 individu ditahan bersama 93,100 liter diesel yang diseleweng
28 Januari 2025
KOTA KINABALU: Seramai 10 lelaki berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi, Ahad lalu.
Dalam serbuan jam 4.30 petang terhadap sebuah premis di Lorong Terap 4, Jalan Kolombong Inanam, itu, sebanyak 93,100 liter diesel yang dipercayai cuba diseleweng turut berjaya dirampas.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pasukan operasi bertindak merampas beberapa kenderaan termasuk lori tangki di premis berkenaan.
Katanya, semua rampasan dianggarkan bernilai keseluruhan kira-kira RM1.4 juta berdasarkan harga pasaran semasa.
“Ketika pemeriksaan di premis berkenaan, pasukan serbuan menemui beberapa jenis kenderaan di dalam premis yang sedang menjalankan aktiviti memindahkan minyak diesel.
“Hasil siasatan mendapati minyak diesel berkenaan dipindahkan daripada kenderaan ke tangki simpanan dan seterusnya dimasukkan lori tangki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nazri berkata, berdasarkan siasatan awal, premis berkenaan disyaki dijadikan tempat penyimpanan minyak diesel bersubsidi yang cuba untuk diselewengkan.
Katanya, beberapa individu yang berada di premis berkenaan turut gagal mengemukakan sebarang dokumen permit atau kebenaran yang sah mengisi dan memiliki bahan bakar diesel daripada pihak Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurutnya, semua yang ditahan berusia lingkungan 27 hingga 62 tahun untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan atau jenayah lain.
Katanya, pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku yang terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.
Commentaires