10 KILANG DI TAWAU TIDAK PATUHI SOP DIKENAKAN KOMPAUN

26 Jun 2021 Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebanyak 10 buah kilang di Tawau dikenakan kompaun atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kehadiran 60 peratus tenaga kerja sektor perkilangan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, operasi pemeriksaan itu dilaksanakan selaras dengan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah, untuk memastikan pematuhan SOP kehadiran 60 peratus tenaga kerja dalam sektor perkilangan di bahagian Pantai Timur Sabah.
“Operasi ini dilaksanakan di Tawau dan Lahad Datu pada 13 Jun hingga 23 Jun lalu oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen.
“Pemeriksaan ini telah dibuat secara mengejut ke atas kilang-kilang di daerah-daerah berkenaan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Masidi berkata, hasil pemeriksaan di daerah Tawau ke atas 30 buah kilang didapati sebanyak 10 buah kilang tidak mematuhi SOP kehadiran 60 peratus tenaga kerja sektor perkilangan dan telah dikompaun oleh KKM di bawah Peraturan 16 - Gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja bagi sektor perkilangan dan pembuatan seperti arahan Ketua Pengarah KKM.
“Manakala di daerah Lahad Datu 36 buah kilang telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati semua kilang mematuhi peraturan.
“Hanya sebuah kilang pekerjanya seramai empat orang telah dikompaun oleh KKM di bawah Peraturan 17 atas sebab gagal memakai pelitup muka di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata, semua sektor perkilangan dikehendaki mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Comments