10 orang banduan di Keningau dilepaskan melalui Program PBSL
Oleh Wartawan Nabalu News
20 Disember 2024
KENINGAU: Sepuluh orang lagi banduan di Sekolah Henry Gurney (SHG) dan Pusat Reintegrasi Penghuni Keningau dilepaskan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ishan Madani "Kepulangan Yang Dinanti" sempena Hari Krismas 2024.
Penyerahan dokumen pelepasan kepada Orang Bebas Berlesen (OBB) itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.
Daripada jumlah itu, lima OBB bersama keluarga dan lima lagi OBB bersama majikan, pulang ke pelbagai daerah di Sabah serta tiga orang di parol bersama majikan di bawah seliaan pejabat parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Tawau.
Program ini dilaksanakan sepanjang tahun menjelang perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.
Berucap pada majlis itu Flovia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid berkata, program ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk mendukung nilai ishan dan kemanusiaan selaras dengan prinsip Madani dalam memacu masyarakat yang harmoni dan inklusif.
Katanya, program ini adalah usaha kerajaan terutamanya Jabatan Penjara Malaysia dalam memberikan peluang kedua kepada prospek banduan yang berusaha untuk berubah dan membina kehidupan baru.
"Dalam erti kata lain, program ini adalah bertujuan untuk memberikan keistimewaan kepada banduan atas alasan merapatkan hubungan kekeluargaan, mencari peluang pekerjaan, perancangan masa hadapan dan lain-lain perkara yang difikirkan wajar oleh Jabatan Penjara Malaysia" katanya.
Beliau berkata program PBSL Ishan Madani "Kepulangan Yang Dinanti" melibatkan pelepasan banduan seluruh institusi Jabatan Penjara di Malaysia.
Terdahulu Pengarah SHG Keningau, Penolong Komisioner Penjara, Sirajuddin Abdul Majid berkata, sepanjang tahun ini (2024) hampir 200 banduan dibawah kawalan SHG Keningau dilepaskan melalui program PBSL.
Katanya, mereka yang dilepaskan telah melalui program Pemulihan Dalam Komuniti yang telah dibimbing dalam aktiviti pertanian, perniagaan dan lain-lain kemahiran termasuk pembentukan jati diri.
Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tulid, Casmir Silip dan Pegawai-Pegawai Kanan SHG.
Comments