12 PATI China dan Pakistan dihantar pulang
28 Januari 2025
KOTA KINABALU: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China dan Pakistan berjaya dihantar pulang ke negara asal, semalam.
Semua PATI membabitkan 11 warga China dan seorang warga Pakistan yang sebelum itu ditahan di Depot Imigresen Papar dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Pengarah Jabatan imigresen Sabah (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program pemindahan tahanan PATI kali ini hanya membabitkan lelaki dewasa.
“Pemindahan semua tahanan PATI warga Pakistan dan China itu dijalankan atas program pembiayaan sendiri.
“Pati yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, semua 12 Pati terbabit turut melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Siasatan dijalankan selepas semua mereka didapati masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“Semua Pati terbabit telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal selepas lengkap dokumen perjalanan,” katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
Katanya, tindakan pendakwaan juga akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.
“Mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran terhadap syarat pas atau permit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM turut menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang,” katanya.
SH Sitti Saleha berkata, JIM juga akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pati di negara ini.
Comentarios