top of page
nabalunews

12 Pelajar terima bantuan awal pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat di Pitas

28 Oktober 2024


BENGKOKA: Seramai 12 pelajar dari sekitar Pitas menerima bantuan awal pengajian di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat Malaysia (YBR) yang akan meringankan beban kewangan mereka untuk melanjutkan pelajaran.


Para penerima terdiri daripada 4 pelajar dari Kampung Sinukab, 5 pelajar dari Kampung Manduring, 2 pelajar dari Kampung Kabatasan, dan seorang pelajar dari Kampung Sulakolung.


Program penyampaian bantuan awal pengajian ini telah diadakan pada Sabtu 26 Oktober lalu bertempat di Restoran Kanibongan (Zul Asri) Pitas.


Majlis penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kudat, Junsim Rumunzing yang

juga Pengerusi Koperasi Kraftangan Kampung Sinukab Kanibongan Berhad, mewakili Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Lasimbang.


Menurut Junsim, bantuan ini adalah untuk meringankan kos permulaan bagi para pelajar yang akan melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara.


Dua daripada pelajar tersebut kini sedang menuntut di Universiti Sultan Idris, 4 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), seorang di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 2 pelajar di Cyberjaya College Kota Kinabalu, seorang di Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), dan seorang lagi di Open University Malaysia.


Katanya Yayasan Bank Rakyat Malaysia melalui inisiatif CSR berusaha membantu pelajar yang kurang berkemampuan agar mereka tidak ketinggalan dalam mengejar cita-cita.


Junsim turut menyampaikan penghargaan kepada Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), atas komitmen beliau dalam memanfaatkan program CSR agensi-agensi di bawah kementeriannya untuk membantu pelajar dan keluarga yang memerlukan sokongan melanjutkan pelajaran.

Comments


bottom of page