120 Ahli Baru Sertai UPKO di Ranau, Kukuhkan Sokongan Parti
nabalunews

18 Mac 2025
RANAU: Seramai 120 ahli baru dari Kampung Narawang dan Kampung Sagindai, Ranau, secara rasmi menyertai keluarga besar Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Borang keahlian diserahkan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, dalam satu majlis ringkas di Puteri Nabalu Lodge, Kundasang.
Penyerahan borang dilakukan Ketua Cawangan UPKO Kampung Narawang, Masrin Tulis dan disaksikan oleh Ketua UPKO Bahagian Ranau, Georgina George.
Masrin berkata, penyertaan mereka ke dalam UPKO didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk hala tuju parti yang jelas dan kepimpinan berwibawa Datuk Ewon Benedick.
Katanya, beliau turut menekankan bahawa kepimpinan akar umbi UPKO di Ranau memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai sokongan rakyat.
"Kami melihat UPKO sebagai parti yang mempunyai perjuangan jelas serta pemimpin yang benar-benar memahami keperluan masyarakat.
“Aura kepimpinan Datuk Ewon sebagai Menteri Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga menjadi faktor utama kepercayaan kami terhadap parti ini," katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Georgina turut melahirkan rasa syukur atas usaha gigih akar umbi UPKO Ranau yang sentiasa komited dalam memperkukuhkan parti di kawasan itu.
"Kami amat menghargai usaha pemimpin akar umbi yang bekerja tanpa mengira penat lelah. Kesungguhan mereka dalam mendekati masyarakat telah memberi impak positif terhadap pertumbuhan keahlian UPKO di Ranau," ujar Georgina.
Penyertaan 120 ahli baru ini menandakan perkembangan positif bagi UPKO di Ranau, sekali gus memperkukuhkan lagi sokongan rakyat terhadap perjuangan parti.
Comments