13 GRO antara 21 warga asing ditahan JIM

17 Mac 2025
KOTA KINABALU: Seramai 13 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing antara 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Semua PATI berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam operasi serbuan bermula jam 12 tengah malam di dua pusat hiburan di Kota Kinabalu dan Penampang.
Operasi dijalankan berdasarkan aduan dan hasil maklumat risikan yang dijalankan selama tiga minggu berhubung aktiviti premis pusat hiburan berkenaan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua warga asing yang ditahan terdiri daripada Warga Vietnam, Filipina dan Indonesia.
Katanya, hasil serbuan di lokasi pertama membawa kepada penahanan tujuh individu warga asing yang terdiri daripada satu lelaki dewasa warga Filipina dan enam wanita dewasa warga Vietnam.
“Manakala operasi di lokasi kedua, JIM berjaya menahan 14 individu yang terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita warga Filipina serta lima lelaki dan dua wanita warga Indonesia,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, sepanjang operasi itu, pihak JIM turut merampas lesen perniagaan, wang tunai berjumlah RM3,957, dokumen perjanjian sewaan premis serta dua buku catatan.
Katanya, semua tangkapan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk siasatan dan proses dokumentasi.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikutPeraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas yang dikeluarkan.

"Selain itu siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) tiada dokumen pengenalan diri serta Seksyen 15(1)(c) tinggal lebih masa dibawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, pihak JIM menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung PATI atau aktiviti menggaji warga asing secara tidak sah tampil menyalurkan maklumat untuk tindakan pihak berkuasa.
Katanya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

Katanya, ia berdasarkan perundangan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
"Setakat ini, seramai 1,271 tangkapan berkaya dilakukan hasil pemeriksaan terhadap 8,134 orang.
“Manakala penghantaran pulang ke negara asal pula sudah melibatkan seramai 2,472 orang.

"JIM Sabah akan terus memainkan peranan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen
dibenarkan bekerja dan menetap di Malaysia," tegasnya.
Comments