13 PATI warga Vietnam dihantar pulang ke negara asal
3 Disember 2024
KOTA KINABALU: 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Vietnam dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Ho Chi Minh City, Vietnam, pada Selasa.
Semua PATI terbabit sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar, dipindahkan menggunakan pengangkutan udara AirAsia untuk penghantaran pulang.
Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai 13 lelaki berusia 23 tahun sehingga 51 tahun yang ditahan kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“PATI yang dipindahkan telah dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, Semua PATI terbabit telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan.
Katanya, setakat ini, seramai 50 orang tahanan warganegara Vietnam sudah dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun 2024 menjadikan JIM Sabah sudah berjaya menghantar pulang keseluruhan 7,943 orang warganegara asing.
Katanya, semua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.
“Kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan hubungan kerjasama daripada pihak Kedutaan asing di Malaysia.
“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen Negeri Sabah.
“Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan,” katanya.
Menurutnya, tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM Sabah menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.
“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini,” katanya.
Comentarios