top of page
  • nabalunews

14 daripada 36 tapak Tamu Desa di Sabah siap sepenuhnya - Ewon


19 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, 14 daripada 36 pembangunan premis Tamu Desa di Sabah bagi Fasa 1 siap sepenuhnya pada bulan lepas.


Beliau berkata, Tamu Desa yang siap sepenuhnya itu di Penampang, Kota Marudu, Kota Belud, Sipitang, Nabawan dan Tawau.


“Sebahagian daripada Tamu Desa yang belum siap sedang dalam pembinaan dan selebihnya dalam proses perolehan. Pada 30 September ini, kita akan membincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan dan Keusahawanan Sabah perkembangan keseluruhan pelaksanaan Tamu Desa di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas temubual mengenai Pelaksanaan Insiatif Pembangunan Tamu Desa Sabah dan Sarawak oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menerusi radio Sabahfm, di Studio Sabahfm, di Kompleks Bersepadu KKM, di sini, hari ini.


Ewon berkata, inisiatif itu adalah cetusan idea yang beliau perkenalkan di KUSKOP bagi menaiktaraf kemudahan tamu-tamu komuniti luar bandar sedia ada atau membina baharu kemudahan premis tamu kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di luar bandar.


Beliau berkata, dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan telah menyediakan peruntukan RM20 juta untuk pelaksanaan pembangunan Tamu Desa di bawah KUSKOP.


Katanya bagi fasa pertama, sebanyak RM10 juta sedang dilaksanakan bagi membangunkan 36 tapak Tamu Desa di Sabah dan 13 di Sarawak. Sebahagian besar sudah siap termasuk di Sipitang dan Kuala Penyu yang akan diserahkan kepada komuniti peniaga kecil esok.


“Bagi fasa kedua, KUSKOP sedang memuktamadkan dengan Kementerian Kewangan mengenai penyaluran peruntukan bagi menjayakan pembangunan Tamu Desa yang seterusnya.


“Saya amat yakin projek ini dapat memberi manfaat kepada komuniti peniaga kecil dan para pengunjung Tamu Desa. Saya berhasrat untuk menjadikan ini sebahagian inisiatif tahunan KUSKOP supaya lebih banyak Tamu-Tamu Desa dapat dinaiktaraf atau dibangunkan,” katanya.


Ewon berkata, untuk perancangan jangka masa panjang, kementerian telah mengemukakan permohonan kepada  Kementerian Kewangan bagi inisiatif Belanjawan 2025 dan seterusnya menjadi inisiatif tahunan KUSKOP.


“Mudah-mudahan dengan adanya inisiatif ini, kita dapat memberi manfaat kepada para usahawan kecil, penjaja dan peniaga kecil di tamu-tamu desa terutamanya di luar bandar.


“Kita juga mewujudkan skim-skim usahawan tamu , Skim Pembiayaan Mikro kepada para penjaja dan peniaga kecil yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat, Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.


“Kita juga menggalakkan penubuhan koperasi oleh para peniaga kecil-kecilan di Tamu Desa ini selepas mereka memulakan perniagaan di tamu pada masa akan datang,” katanya.

Comentarios


bottom of page