top of page
nabalunews

145 PATI ditahan di Ranau





26 Oktober 2024


RANAU: Seramai 145 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditahan dalam operasi oleh Jabatan Imigresen Sabah di beberapa rumah kongsi di sekitar Kampung Lutut, Ranau, hari ini.


Pengarah Imigresen Negeri Sabah? Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata operasi bermula kira-kira 12 tengah malam tadi dan berakhir iam 7 pagi tadi.


Operasi disertai seramai 52 orang pegawai pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu, Pejabat Imigresen Ranau, Pejabat Imigresen Keningau, Pejabat Imigresen

Kudat dan turut dibantu oleh 4 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).


Sh Sitti Saleha berkata seramai 220 orang telah diperiksa dalam operasi ini.


"Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan daripada aduan awam berhubung PATI yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri dan bekerja tanpa pas yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya PATI yang ditahan berusia di antara 3 bulan hingga 62 tahun yang terdiri daripada 82 orang lelaki dan 63 perempuan atas pelbagai kesalahan Imigresen.


Sh Sitti Saleha berkata kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan dan tindakan susulan.


Katanya antara cabaran ketika operasi itu adalah struktur geografinya yang menyebabkan kesukaran dalam mengharungi jalan yang tidak berturap dan berbukit-bukau yang mengambil masa perjalanan hampir satu jam untuk sampai ke lokasi dan hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda sahaja.


Sh Sitti Saleha berkata pasukan penguatkuatkuasa juga terpaksa mengharungi 3 anak sungai untuk sampai ke lokasi sasaran.


"Ketiadaan liputan rangkaian telekomunikasi juga menyukarkan pegawai untuk berhubung berkenaan kelancaran operasi.


"Terdapat juga warga asing yang cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan. Namun keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.


Menurut Sh Sitti Saleha, antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri mengikut Seksyen 6 (1) (c), tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15 (1) (c) serta warganegara Malaysia yang dipercayai melindungi PATI dalam premis mengikut Seksyen 55E (1).


Katanya operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.


Jabatan Imigresen Malaysia mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.


Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu Jabatan Imigresen Malaysia dalam melaksanakan penguatkuasaan dimi4 supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut.

Comments


bottom of page