top of page

160 usahawan dibimbing dalam Program GrowBiz

nabalunews

28 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Seramai 160 usahawan mikro dan kecil telah dibimbing untuk menaik taraf dan meningkatkan daya saing mereka menerusi penyertaan dalam Program GrowBiz.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, GrowBiz merupakan inisiatif di bawah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah KUSKOP.


Katanya, program itu memberi bimbingan kepada usahawan dalam menaik taraf perniagaan mereka daripada perniagaan bersaiz mikro kepada kecil serta meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan produktiviti perniagaan.

“Ia telah diperkenalkan pada tahun 2021/2022 dan graduan kali ini merupakan kumpulan ketiga dalam pelaksanaan Program GrowBiz.


“Selain itu turut ditekankan keperluan usahawan untuk berusaha menaik taraf dan meningkatkan perniagaan melalui idea-idea baharu secara inovatif, kreatif dan kritis, bersikap responsif, fleksibel dan tangkas.


“Ia bagi menghadapi sebarang perubahan polisi dan landskap perniagaan di samping meningkatkan daya saing menerusi transformasi digital dalam perniagaan serta pengurusan aliran tunai dan kewangan yang cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang mewakili pada Majlis Graduasi Program GrowBiz 2024/2025.


Menurutnya, usahawan juga digalakkan mengambil peluang daripada pasaran eskport melalui penglibatan aktif Malaysia dalam perjanjian perdagangan antarabangsa serta pengiktirafan Malaysia sebagai negara rakan secara rasmi dalam BRICS dan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025.


“Sebagai persediaan kepada pasaran antarabangsa, usahawan perlu menitikberatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).


“Selain itu ia perlu memastikan produk yang dikeluarkan menepati piawaian antarabangsa seiring dengan pembangunan jenama di samping reka bentuk terkini, produk yang selamat dan menepati kehendak semasa serta harga yang kompetitif,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Datuk Nainy turut berkongsi mengenai pencapaian dan impak Program GrowBiz 2024/2025.


“Berdasarkan pemantauan selepas tamat menyertai Program GrowBiz, 152 peserta 94 peratus menunjukkan peningkatan jualan sehingga ada yang berjaya mencecah kenaikan 291 peratus.


“Selain itu, 63 peratus peserta telah berjaya menaik taraf perniagaan daripada mikro kepada kecil manakala 65 peratus peserta menambah bilangan pekerja yang berjaya mewujudkan 281 pekerjaan baharu.


“Terdapat juga beberapa peserta yang berjaya mengeksport ke United Kingdom, Switzerland, Brunei, Dubai, China, Bangladesh, Vietnam, Ireland, Qatar, Thailand dan Singapura,” katanya.


Rizal berkata, GrowBiz turut menggunakan pendekatan bimbingan khusus (hand-holding) ke atas perusahaan mikro yang merangkumi elemen latihan, tunjuk ajar (coaching) dan

pemantauan bagi membimbing perusahaan mikro meningkatkan perniagaan ke tahap

seterusnya.


“GrowBiz kali ini yang dilaksanakan oleh dua Rakan Pelaksana iaitu AverNoble Sdn. Bhd. untuk peserta dari Semenanjung Malaysia dan Celebrate TV Sdn. Bhd. untuk peserta dari Sabah dan Sarawak.


“Ia turut disokong oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sebagai Rakan Strategik,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page