top of page

165 Pati Indonesia dihantar pulang ke negara asal

nabalunews

Antara PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal oleh JIM menerusi Pelabuhan Tawau, semalam.

24 Januari 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seramai 165 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau menerusi program pemindahan tahanan PATI bagi kategori usir melalui laut, semalam.


Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussuf berkata, tahanan itu terdiri daripada 90 lelaki, 39 wanita, 17 kanak-kanak lelaki dan 19 kanak-kanak perempuan berumur di antara tiga bulan sehingga 76 tahun.


Menurutnya, semua mereka dihantar pulang melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan Pengangkutan feri Labuan Express dan Francis Express.

"Mereka sebelum ini ditahan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu dan Papar atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit sah, selain tinggal lebih masa.


"PATI ini juga sudah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindah ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan,"katanya menerusi kenyataan media.


Tambahnya, kesemua tahanan tersebut akan disenaraihitamkan dalam sistem JIM mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.


Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat tahun ini, seramai 165 tahanan PATI Indonesia direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut, menjadikan jumlah keseluruhan 337 warganegara asing yang berjaya dipindahkan ke negara asal


Katanya, berdasarkan rekod statistik pemindahan tahanan asing ke negara asal daripada negeri ini menunjukkan bilangan tertinggi adalah warganegara Indonesia seramai 165 orang (49%), diikuti oleh 145 orang warganegara Filipina (43%), 14 orang warganegara Pakistan (4%), 11 orang warganegara China (3%) dan 2 orang lain-lain warganegara (1%).

Comments


bottom of page