17 pelancong China terlibat kemalangan bas persiaran terbalik
nabalunews
26 Januari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Sebuah bas persiaran yang membawa 17 pelancong warga China terbabas sebelum terbalik di hadapan sebuah kedai, di Jalan Lintas Sibuga, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu bas berusia 63 tahun dilaporkan parah, manakala enam dari 17 pelancong cedera.
Difahamkan, dalam kemalangan berkenaan, pelancong warga asing membabitkan 13 individu dewasa dan empat kanak-kanak yang dilapor mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.15 pagi:
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan oleh orang awam dan ambulans.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menjalankan operasi membersihkan tumpahan minyak menggunakan 1 aliran salur bantu mula sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, turut meluangkan masa melawat semua mangsa di HDOK.
Semua mangsa dilaporkan masih menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil.
Comments