top of page

170,000 warga emas dijangka terima suntikan influenza di seluruh negara

nabalunews

9 Februari 2025


KULIM: Kerajaan bersedia melaksanakan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan bagi warga emas bermula 18 Februari ini, dengan 170,000 penerima disasarkan di seluruh negara.


Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kerajaan menggalakkan sektor swasta dan kerajaan negeri untuk turut serta dalam menjayakan program ini, lapor Berita RTM.


“Saya memang menggalakkan mana-mana sektor swasta ataupun kerajaan negeri yang ingin berkolaborasi dalam program ini.


“Sebagai contoh, ketika COVID-19, kerajaan negeri seperti Selangor dan Sarawak berusaha sendiri untuk menambah bilangan vaksinasi ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kedah Sejahtera 2025, yang turut menyaksikan pelancaran Wellness Hub Kulim dan Penyerahan Kunci Pusat Rekod Perubatan Zon Utara.


Dalam pada itu, janji temu bagi mendapatkan suntikan boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari.


Vaksin ini terbuka kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan boleh diperoleh di klinik serta lokasi terpilih.


“Warga emas digalakkan mengambil suntikan ini demi kesejahteraan diri mereka, namun perlu diingat bahawa jumlah vaksin adalah terhad,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page