174 anggota dan 32 pegawai IPD Sandakan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri

27 Mac 2025
SANDAKAN: Seramai 174 anggota dan 32 pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan akan ditugaskan untuk memantau dan memastikan kesejahteraan penduduk sepanjang musim perayaan ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, penugasan itu termasuk kawalan lalu lintas sekitar daerah Sandakan.
“Dalam masa yang sama, pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan mereka pada musim perayaan ini untuk memastikannya lancar dan selamat.

"Kita juga amat menggalakkan orang ramai yang ingin keluar dari rumah dalam jangka masa panjang untuk memaklumkan kepada pihak Polis menerusi saluran Facebook rasmi IPD Sandakan atau sistem VSP mahupun QR kod yang disediakan untuk memudahkan pemantauan," katanya.
Ahsmon berkata demikian pada sidang media sejurus menghadiri Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Wang wakalah zakat PDRM Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan 2025 yang diadakan di Masjid Nur Aman IPD Sandakan pada Khamis.
Program berkenaan dilaksanakan sejak 3 Mac lalu bersempena Peringatan Hari Polis Ke-218 tahun.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt. Ramasamy Kuppan dan pegawai kanan yang lain.
Terdahulu, majlis itu menyaksikan 32 peserta khatam Al-Quran melibatkan pegawai kanan, anggota dan ahli Persatuan Keluarga Polis (PERPEP) dan 25 warga IPD terdiri golongan asnaf serta anak yatim menerima sumbangan zakat dan bakul makanan.
Ahsmon berkata, majlis itu memperlihatkan rukun negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan yang mana meskipun sibuk dalam tugasan seharian, keperluan menjalani ibadah juga tidak dilupakan.
Comments