top of page
nabalunews

180 PATI Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui ICQS, Lahad Datu



21 Disember 2024


KOTA KINABALU: 180 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu dalam Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal bagi tahun 2024 untuk kategori usir melalui laut, pada Jumaat.


Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata PATI Filipina yang dihantar balik terdiri daripada 64 lelaki dewasa, 67 wanita, 23 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan yang berumur antara 7 bulan sehingga 67 tahun.


"Kanak-kanak yang.terlibat dengan program tersebut akan balik ke negara asal bersama ibu bapa atau penjaga yang sah.


"Pemindahan tahanan PATI warganegara Filipina telah dilaksanakan daripada Depot Imigresen Sandakan, Sabah dan Depot Imigresen Tawau, Sabah melalui ICQS Lahad Datu, Sabah ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan pengangkutan feri MV MING HAI EXPRESS untuk penghantaran pulang ke Bongao, Filipina," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Saleha berkata kesemua tahanan balik ke negara asal atas kos pembiayaan sendiri.


"PATI yang dipindahkan telah dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.


"PATI tersebut telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan," katanya.


Menurut Saleha lagi, pada tahun 2024 sehingga ke hari ini, seramai 5,993 orang tahanan PATI warganegara Filipina direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,650 orang warganegara asing yang telah berjaya dipindahkan ke negara asal.


Katanya kesemua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukan.


"Kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran Dokumen Perjalanan (Travel Document) daripada pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia.


"Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen Negeri Sabah.


"Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.


"Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah dan individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," tegasnya.


Saleha berkata Jabatan Imigresen juga menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.


"Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini," katanya.

Comments


bottom of page