top of page
nabalunews

19 mangsa terperangkap banjir di Kolombong dan Inanam diselamatkan bomba




30 November 2024


KOTA KINABALU: 19 orang dari lima keluarga yang terperangkap di kediaman masing-masing akibat banjir kilat di Kolombong dan Inanam, di sini, diselamatkan pasukan bomba pada Jumaat.


Mangsa banjir yang diselamatkan bomba adalah seramai 15 orang dari tiga keluarga di Taman Kolombong, Lorong Pic 3, manakala empat orang dari dua keluarga diselamatkan di Kampung Bambangan, Inanam.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.24 petang.


“Setiba pasukan bomba di tempat kejadian di Kampung Bambangan, terdapat dua keluarga terperangkap banjir. Rumah pertama pasukan bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa.


“Rumah kedua pasukan bomba turut berjaya mengeluarkan dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, operasi menyelamat mangsa terperangkap diteruskan di Taman Kolombong membabitkan tiga keluarga.


“Pasukan bomba memulakan operasi menyelamat semua mangsa terperangkap banjir menggunakan jaket keselamatan dan sampan.


“Rumah pertama membabitkan tujuh mangsa manakala rumah kedua terdapat tiga mangsa dan rumah ketiga menyelamatkan lima mangsa.


“Semua mangsa kemudian ditempatkan di rumah keluarga terdekat,” katanya.


Banjir kilat di Kota Kinabalu berpunca

hujan lebat tanpa henti sejak 12 tengah hari Jumaat yang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dan Penampang dilanda banjir kilat.

Comments


bottom of page