top of page
nabalunews

2 bot, 9 kru ditahan lakukan pelbagai kesalahan maritim


22 Disember 2024


LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan maritim iaitu mengubahsuai tangki minyak bot, lesen tamat tempoh dan gagal melaporkan pertukaran nakhoda di perairan kira-kira 3.7 batu nautika tenggara, Pulau Sakar, di sini pada Jumaat.


Pengarah Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata kedua-dua bot berkenaan ditahan APMM Zon Maritim Lahad Datu dalam Ops Pluto Timur 2/2013, Ops Tiris 3.0, jam 2.55 petang.


"Pemeriksaan awal mendapati, bot pertama dikendalikan seorang warga Indonesia dan seorang palauh manakala bot kedua dikendalikan seorang warga Indonesia dan enam palauh.


“Semua mereka berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.


“Namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot pertama melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai tangki minyak tanpa kebenaran dan mempunyai lesen tamat tempoh.


“Manakala bot kedua melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) iaitu gagal melaporkan pertukaran nakhoda,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.


Menurutnya, semua kru dan bot dibawa ke Jeti Perikanan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.


“Nilai tangkapan bagi kedua-dua bot itu berjumlah hampir RM350,000.


“APMM tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara,” katanya.

Bình luận


bottom of page