top of page
  • nabalunews

2 buaya masuk perangkap di Kota Marudu, operasi mencari ditamatkan


15 September 2024


KOTA MARUDU: Dua ekor buaya berjaya ditangkap selepas diumpan oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam operasi mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya di Kampung Marudu Darat, Jalan Ranau-Ranau, dekat sini, Rabu lalu.


Bagaimanapun, sehingga kini, hari kelima, mangsa yang dikenali sebagai Razis Amat, 35, masih belum ditemukan, dan operasi mencari dihentikan petang tadi sehingga mendapat petunjuk baharu kejadian berkenaan.


Manakala dua ekor buaya yang ditangkap telah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar, kata jabatan bomba.


Rabu lalu, bomba menerima laporan kecemasan terdapat seorang mangsa dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang melakukan aktiviti mandi sungai bersama anak saudaranya di Kampung Marudu Darat, Jalan Ranau-Ranau, Kota Marudu.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata operasi mencari hari kelima bermula jam 8 pagi tadi menggunakan bot penyelamat dengan kaedah pencarian Surface Water Rescue bersama agensi lain dan seterusnya meronda ke lokasi umpan yang telah dipasang dan telah berjaya menangkap 2 ekor buaya.


Turut membantu gerakan mencari adalah 25 orang terdiri anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Hidupan Liar dan orang awam. Mangsa belum ditemui.


Setelah perbincangan dengan semua agensi yang terlibat, operasi mencari ditamatkan jam 6 petang tadi sehingga nendapat petunjuk baharu.


Terdahulu bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.07 petang, 11 September lalu.


“Menurut maklumat awal dari pemanggil, terdapat dua mangsa melakukan aktiviti mandi manda di sungai berkenaan.


“Seorang mangsa remaja berusia 17 tahun selamat manakala seorang lagi berusia 35 tahun dikhuatiri dibaham buaya,” katanya.

Comments


bottom of page