2 pemandu mabuk ditahan di Tawau
9 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Dua lelaki berumur 49 dan 62 tahun ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Bersepadu (Ops Mabuk) di Jalan Chong Thien Vun, di sini, Sabtu lalu.
2 pemandu berkenaan antara 38 individu yang diperiksa dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dalam kenyataan, hari ini berkata 33 kenderaan turut diperiksa dan sebanyak tujuh notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalulintas seperti tiada lesen memandu, insuran kenderaan tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar dan sebagainya.
Manakala, dua lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol tersebut didapati positif semasa saringan awal.
Katanya, selepas ujian pernafasan menggunakan alat Evidential Analyzer (EBAII), mereka didapati positif alkohol melebihi had yang ditetapkan.
Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Jasmin berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau akan terus mempergiatkan operasi membanteras pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu mabuk kerana mereka bukan sahaja mengundang bahaya pada diri sendiri tetapi juga mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.
Comments