nabalunews
200 atlet dari 11 negara ASEAN berkampung di Stadium Likas
28 November 2024
KOTA KINABALU: Lebih 200 atlet dari 11 negara Asia Tenggara berkampung di Stadium Likas di sini bagi menyertai Kejohanan Olahraga Belia Bawah 18 tahun Asia Tenggara (SEA U18 AC 2024) yang bermula Khamis sehingga Sabtu ini.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi satu kenyataan berkata kejohanan itu menjadi platform penting untuk mencungkil bakat muda baharu yang berpotensi menjadi bintang sukan di peringkat antarabangsa.
“Sebagai acara utama dalam
kalender athletics rantau ini, ia juga bertujuan untuk memperkukuh hubungan persahabatan dan persefahaman antara negara ASEAN melalui sukan,” katanya seperti dilaporkan Info X.
Acara utama kejohanan itu ialah lari pecut, lari jarak jauh, lompat jauh, lompat tinggi, lempar cakera, lontar peluru dan acara lari berganti-ganti.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan turut dihadiri pemimpin sukan serantau.
Stadium Likas, yang baru selesai menjalani penambahbaikan besar-besaran, kini bersedia untuk memberikan pengalaman terbaik kepada atlet, pegawai, dan penonton.
Presiden KOM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebelum ini berkata, kejohanan itu bukan saja peluang untuk menunjukkan kemampuan atlet muda tetapi juga membuktikan Malaysia mampu menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa.
Katanya, sorakan ‘Malaysia Boleh’ akan terus menjadi semangat yang menyokong perjuangan atlet negara.
Sehubungan itu KOM menjemput orang ramai untuk menyaksikan kejohanan yang julung kali diadakan di Stadium Likas itu bagi memberi sokongan moral kepada atlet muda yang bertanding.
Kemasukan ke Stadium Likas sepanjang kejohanan itu adalah percuma dan sebagai rujukan, jadual penuh kejohanan boleh disemak di laman sosial rasmi Kesatuan Olahraga Malaysia.
コメント