200 graduan terima Anugerah Kecemerlangan Akademik YBR

26 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 200 graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di seluruh IPT di Malaysia menerima anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik.
YBR telah menyampaikan wang tunai dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM200,000 beserta sijil penghargaan kepada 200 graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian bermula Januari 2022 sehingga Ogos 2024.
Kesemua graduan yang menerima anugerah kecemerlangan itu memperolehi pencapaian PNGK 3.5 ke atas.
Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, di Hotel Wyndham Grand Bangsar Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Hadir bersama Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Lembaga Pemegang Amanah YBR serta Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.
Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, anugerah ini dapat membuka mata masyarakat mengenai bantuan pendidikan di bawah YBR mampu memberikan suntikan semangat kepada para pelajar untuk berjaya di peringkat pengajian tinggi.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak mendorong anak-anak muda mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi dalam membina masa depan yang lebih gemilang.
“Saya amat berterima kasih kepada YBR kerana sentiasa memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam meningkatkan tahap pendidikan negara ke peringkat seterusnya,” katanya.
Sementara itu Philip berkata, ganjaran wang tunai bernilai RM1,000 ini adalah tanda penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan pencapaian terbaik sepanjang tempoh pengajian.
"Semoga Anugerah ini memberi inspirasi kepada pelajar yang masih meneruskan pengajian dan merupakan tanda sokongan YBR dalam agenda Pendidikan bagi melahirkan modal insan mahir kepada negara," katanya.
Seramai 150 graduan dari peringkat Ijazah Sarjana Muda manakala 50 graduan dari peringkat Ijazah Sarjana menerima anugerah ini.

Pada majlis itu, YBR turut menyerahkan komputer riba kepada 25 pelajar terbaik matrikulasi tajaan YBR yang telah menerima tajaan biasiswa YBR untuk melanjutkan pengajian ke Ijazah Sarjana Muda.
Inisiatif ini merupakan jalinan usaha bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) yang bermula sejak 2022 untuk memberikan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar terbaik matrikulasi.
Untuk makluman, YBR telah memperuntukkan 25 pelajar terbaik matrikulasi yang terpilih setiap tahun bagi menerima biasiswa YBR bagi program biasiswa YBR-BMKPM.
Comments