top of page
nabalunews

200 hadiri Seminar Program Legalisasi Pekerja Asing


4 November 2024 


TAWAU: Hampir 200 penggiat sektor pertanian di daerah ini dan sekitarnya menyertai Seminar Program Legalisasi Pekerja Asing di Dewan Institut Sains dan Pengurusan (ISM) Tawau.


DPTT dalam kenyataan media hari ini berkata, program anjuran Dewan Perniagaan Tionghua Tawau (DPTT) dengan kerjasama Persatuan Pertanian Tawau itu memberi pendedahan kepada para majikan, khususnya wakil syarikat dan pemilik ladang untuk memahami cara mendaftar pekerja asing sedia ada dalam Sistem Pengurusan Pekerja Terpadu Sabah (SWIMS) dan menavigasi prosedur undang-undang yang berkaitan.


Dalam taklimatnya, Pengurus Besar Smart Sabah, Nonny Atika Yahya berkata Smart Sabah adalah syarikat milik penuh kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk membangunkan, menyelenggara dan mengoperasikan pengurusan digital pekerja asing dan bukan warganegara di Sabah serta dipantau secara langsung oleh Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah. 


Katanya menerusi SWIMS, kerajaan negeri dapat mengenalpasti permintaan tenaga kerja asing di pelbagai industri supaya majikan dapat bekerjasama untuk memberikan kebenaran khas kepada pekerja asing yang tidak mempunyai permit untuk membuat permohonan permit kerja yang sah dengan Jabatan Imigresen.


"SWIMS adalah platform dalam talian yang direka untuk memudahkan pemantauan dan pengurusan pekerja asing di Sabah yang akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh sektor dengan fokus awal kepada industri ladang, pertanian dan pembinaan," katanya.


Menurut Nonny, pekerja asing dan keluarga yang didaftarkan dalam SWIMS akan menerima kod QR unik yang berfungsi sebagai pengenalan digital sementara dan apabila diimbas akan memaparkan maklumat asas mereka, sekaligus memudahkan verifikasi identiti atau pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa.


Setakat ini, katanya, hampir 80,000 pekerja asing dan tanggungan sudah didaftarkan dalam SWIMS. 


"Mereka yang berdaftar tetapi belum memiliki permit kerja yang sah dibenarkan bekerja sementara selama enam bulan di bawah kebenaran khas sambil menunggu dokumentasi dan prosedur legalisasi, namun, majikan mesti memastikan pekerja yang diambil dalam tempoh ini mendapatkan dokumentasi sesuai atau PLKS,".katanya lagi.


Nonny berkata, matlamat akhir kerajaan negeri adalah untuk memastikan semua pekerja asing yang diupah oleh majikan di Sabah adalah pekerja sah dan mempunyai data tepat mengenai pekerja asing yang bekerja di negeri ini.


Hadiri sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong; Presiden Persatuan Hokkien Tawau, Gan Hock Song; dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kunak, Pong Kim Wei.

Commentaires


bottom of page