218 Murid SK Sogo Sogo terima bantuan awal persekolahan

21 Februari 2025
TONGOD: Seramai 218 murid dari SK Sogo Sogo, Tongod menerima bantuan awal persekolahan dalam bentuk beg sekolah dan wang tunai hasil kerjasama antara Persatuan Peniaga Wanita Sabah (SWEA) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Majlis penyerahan bantuan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang.
Menurut Pengerusi SWEA, Mohina Sidom, sekolah-sekolah di Tongod masih memerlukan pelbagai bentuk bantuan bagi memastikan kemudahan serta keperluan pelajar mencukupi.

“Bantuan seperti ini amat dialu-alukan kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh ibu bapa,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dalam membantu anak-anak di daerah ini keluar dari kepompong kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Sementara itu, Datuk Philip Lasimbang menyatakan bahawa sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini selari dengan matlamat YBR untuk membantu murid daripada keluarga B40.
Untuk rekod, YBR telah banyak menyalurkan bantuan ke sekolah-sekolah di Tongod, termasuk bantuan awal pengajian, peralatan sekolah seperti kerusi dan meja, serta pelbagai inisiatif lain bagi menyokong pembangunan pendidikan di daerah ini.
Comments