22,146 hektar sawah padi terbiar di Sabah dibangunkan semula
- nabalunews
- 6 days ago
- 2 min read

18 April 2025
KOTA KINABALU: Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) kini mempergiat usaha pembangunan semula 22,146 hektar kawasan sawah terbiar yang tidak mempunyai sistem pengairan berkesan.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Peto Galim berkata, jumlah berkenaan merangkumi enam daerah di negeri ini dengan Kota Belud mencatatkan keluasan tertinggi 8,652 hektar.
Katanya, ini diikuti oleh Kota Marudu dengan keluasan 3,132 hektar, Keningau (3,514 hektar), Tuaran (2,514 hektar), Papar (2,270 hektar), dan Tambunan dengan keluasan 2,064 hektar.
"Bagi memastikan kelancaran pembangunan dan pengurusan padi di enam daerah tersebut jawatankuasa pembangunan dan pengurusan padi telah ditubuhkan di setiap daerah terlibat, yang dipengerusikan oleh ahli lembaga pengarah LPBS.
"Kementerian saya melalui Jabatan Pertanian Sabah juga menyediakan latihan teknologi pertanian dalam usaha meningkatkan kemahiran dan kecekapkan petani.
“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian tempatan,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.
Peto berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Annuar Ayub yang ingin tahu inisiatif Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha meningkatkan hasil pertanian tempatan.
Katanya, antara latihan teknologi yang dilaksanakan adalah inisiatif Malaysia Digital (MD) AgTech dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang menyediakan bantuan berbentuk Internet of Things (IoT) dalam sistem fertigasi.
“Sejumlah 1,343 kursus yang dilaksanakan dengan penyertaan seramai 14,379 orang telah menghasilkan nilai jualan sebanyak RM23.95 juta.
“Selain itu, Program Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP) berjumlah RM 1.43 juta telah ditawarkan kepada 63 pengusaha produk hiliran berasaskan tanaman makanan dalam tempoh lima tahun dari tahun 2021 hingga 2025, dengan nilai jualan RM15.18 juta,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Program Geran Agropreneur Muda (GAM) telah membantu seramai 86 belia berumur 18 hingga 43 tahun dalam bidang pertanian dan pemprosesan makanan antaranya penanaman cili, rock melon secara fertigasi, sayuran hidroponik, serta ternakan madu kelulut.
Menurutnya lagi, Program AgroPelancongan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut diperkenalkan bagi menyokong pengusaha ladang tanaman makanan sebagai tarikan pelancong.
“Setakat ini 19 pengusaha agropelancongan menerima geran berjumlah RM3.5 juta dan telah berjaya memperoleh nilai jualan sebanyak RM 2.44 juta,” katanya.
Comentarios