top of page

220 PATI Indonesia dihantar pulang

nabalunews


21 Mac 2025


KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, menghantar balik seramai 220 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal, semalam.


Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI berkenaan merupakan tahanan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan.


Katanya, semua PATI berusia lapan bulan hingga 67 tahun itu dipindahkan ke destinasi asal iaitu Pulau Nunukan, Indonesia, menggunakan pengangkutan laut iaitu Feri Labuan Express dan Francis Express.



“Ia menjadikan jumlah keseluruhan warga Indonesia yang dihantar sebanyak 612 orang setakat ini.


"Manakala jumlah keseluruhan PATI yang dihantar pulang ke negara asal ialah sebanyak 2,699 orang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, semua PATI berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah.


Katanya, ia dikeluarkan oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan asing ke negara asal.


“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.


“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.


“Ia termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.


Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, pihak menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.


Katanya, JIM Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page