top of page

230 Pekerja KOSAN Hilang Pendapatan

nabalunews


24 Mac 2025


TUARAN: Seramai 230 pekerja kilang perusahaan pakaian Tuaran dan kilang kasut Papar milik Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) hilang pekerjaan ekoran pemberhentian operasi dua kilang berkenaan.


Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata penutupan operasi itu berpunca daripada ketiadaan pembeli bagi produk keluaran syarikat sejak hujung tahun lalu.


Katanya, mereka yang terjejas ialah 134 pekerja dari kilang pakaian Tuaran dan 69 pekerja dari kilang kasut Papar selain kakitangan ibu pejabat KOSAN.


“Mereka ditamatkan perkhidmatan menerusi surat yang dihantar kepada mereka pada 14 Oktober tahun lalu.


"Ia disebabkan kontrak pembekalan pakaian seragam dan kasut sekolah antara KOSAN dan kerajaan negeri ditamatkan pada April 2024, dua kilang terbabit terpaksa menghentikan operasi pengeluaran.


"Kerajaan Sabah merupakan pelanggan utama bagi dua kilang KOSAN yang telah beroperasi selama lebih empat dekad," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.


Menurutnya, susulan surat meminta bantuan campur tangan yang diterima, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan bekas pekerja bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut berkenaan .


"Seorang bekas pekerja kilang pakaian KOSAN Tuaran menulis surat kepada saya meminta campur tangan mencari penyelesaian untuk 230 bekas pekerja terbabit yang ditamatkan perkhidmatan pada 14 Oktober 2024," katanya.


Menurutnya, bekas pekerja terbabit mendakwa penamatan perkhidmatan itu dibuat tanpa mengambil kira hak pekerja mendapat pampasan seperti amalan biasa dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS).


"Jabatan Tenaga Kerja telah campur tangan bagi membela hak pekerja, dan kini KOSAN perlu membayar sejumlah pampasan selain daripada faedah PERKESO kepada bekas pekerja kilang tersebut," katanya.


Sehubungan itu, katanya semua bekas pekerja mendesak agar pampasan itu dibayar segera kerana mereka kini berdepan kesempitan hidup selepas kehilangan sumber pendapatan.


"Lebih menyulitkan, sebahagian besar bekas pekerja ini bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan tidak lama lagi, selain perlu menanggung pelbagai perbelanjaan harian," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page