top of page
  • Wartawan Nabalu News

233 koperasi dalam sektor pelancongan, KUSKOP laksana pelbagai inisiatif sokong TMM2026: Ewon




15 Julai 2024

 Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 233 koperasi di seluruh negara terlibat secara khusus dalam sektor pelancongan.

 

Beliau berkata, ia meliputi 39 aktiviti berasaskan pelancongan antaranya hotel dan inap desa, penjagaan diri dan kesihatan, pusat kecantikan, spa dan salon serta kraf seperti batik dan kraftangan.

 

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) khususnya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyokong penuh keputusan kerajaan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dengan memastikan keterlibatan koperasi dalam sektor pelancongan.

 

“Dalam usaha meningkatkan penglibatan dan sumbangan koperasi dalam sektor pelancongan, KUSKOP melalui SKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif,” katanya pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

 

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) yang bertanya bagaimana prestasi atau keterlibatan koperasi-koperasi dalam sektor pelancongan dalam industri pelancongan nasional memandangkan Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana koperasi lebih cenderung dengan sektor pertanian dan pemborongan.

 

Ewon berkata, antara inisiatif yang SKM laksanakan ialah Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) 2024-2025 untuk merangsang aktiviti koperasi yang terlibat dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf.

 

Beliau berkata, SKM memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi melaksanakan program ini bermula Mei 2024 hingga Mei 2025 dengan sasaran penglibatan 160 koperasi dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf.

 

“Insentif bantuan maksimum sehingga RM12,500 disediakan bagi koperasi yang terlibat meliputi skop pemasaran produk dan perkhidmatan serta kos promosi. 

 

“Program ini membantu meningkatkan keupayaan koperasi melalui aktiviti promosi dan pemasaran produk dan perkhidmatan,” katanya.

 

Selain itu katanya, SKM juga menyediakan Geran Bantuan Pembangunan kepada koperasi yang berkelayakan bagi mengukuh dan mengembang aktiviti perniagaan koperasi termasuk aktiviti pelancongan dengan bantuan sehingga RM300,000.

 

“Bagi tahun 2023 dan sehingga 31 Mei 2024, sebanyak 13 koperasi telah diluluskan geran bantuan pembangunan dalam sektor pelancongan berjumlah RM881,000,” katanya.

 

Ewon berkata, koperasi yang berkelayakan juga boleh memohon Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) sehingga RM30 juta bagi mengembang atau memperluas aktiviti perniagaan dalam sektor pelancongan.

 

Bagi tahun 2023 dan sehingga 31 Mei 2024, sebanyak lima koperasi menjalankan aktiviti pelancongan telah diluluskan pembiayaan berjumlah RM4.2 juta,” katanya.

 

Katanya lagi, selain SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) turut menganjurkan bengkel-bengkel seperti Co-op Tourism: Potensi Bisnes Pelancongan Koperasi, Interactive Session For Asean Edu-Tourism Workshop 2024: “Cooperatives: Catalyst For Community Based Tourism Initiatives”; dan

Program Memperkasakan Digitalisasi Koperasi (CODE) - CODE e-COTOURISM.

 

“KUSKOP juga telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM300,000 kepada SKM untuk membantu Program Pensijilan Halal Koperasi kepada koperasi-koperasi dalam sektor pelancongan,” katanya.

Commentaires


bottom of page