24 nelayan di Parlimen Kalabakan terima bantuan LKIM

23 Mac 2025
TAWAU: Seramai 24 nelayan dari beberapa perkampungan antaranya Kampung (Kg) Wallace Bay Sebatik, Kg Tanjung Batu, Kg Merotai Besar, Kg Kalabakan, Kg Haji Matahir dan kawasan lain menerima bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Semua nelayan berkenaan menerima sebuah tong ais dan tong ikan berkapasiti 100 liter dan tiga utas pukat setiap seorang sebagai antara inisiatif membantu nelayan setempat.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, usaha LKIM Sabah itu dilihat satu inisiatif murni yang memberi impak besar kepada kehidupan nelayan kecil.
Katanya, beliau berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban mereka, disamping membantu meningkatkan hasil tangkapan serta ekonomi keluarga masing-masing.
“Bantuan tersebut turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan sektor perikanan kecil tidak dipinggirkan.
“Ia sekaligus dapat memperkukuhkan ekonomi nelayan di kawasan luar bandar seperti Kalabakan,” katanya.
Suryady berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat pengurusan LKIM Sabah, diketuai Pengarahnya, Mohd Jam Abdullah ke Pejabat Ahli Parlimen Kalabakan, di sini hari ini.
Sementara itu, Suryady yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata, diharap kelulusan penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kalabakan dapat disegerakan supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan secara sistematik dan menyeluruh.
"Saya menyeru semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama memastikan proses ini berjalan lancar mengikut jadual kerana persatuan ini akan menjadi platform penting membela nasib nelayan serta memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
“Kunjungan LKIM Sabah itu, antara lain bertujuan untuk membincangkan perkembangan terkini serta status permohonan penubuhan PNK Kalabakan yang dijangka direalisasikan pada Jun depan selepas mendapat kelulusan Mesyuarat PNK Tawau pada 26 Mac depan.
“Antara isu utama yang turut dibincangkan adalah proses akhir naik taraf jeti-jeti nelayan di Parlimen Kalabakan yang diharap dapat mempercepatkan kemudahan infrastruktur bagi komuniti nelayan,” katanya.
Comments