top of page
Wartawan Nabalu News

250 geran tanah hasil PANTAS di DUN Kadamaian sedia diserah bila-bila masa: Nizam 



11 Julai 2024

 

KOTA KINABALU: Sebanyak 250 geran tanah hasil Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian sudah tersedia untuk diserahkan bila-bila masa.

 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Program PANTAS di Kampung Tambatuon pula sedang dijalankan dan dijangka selesai sepenuhnya hujung tahun ini.

 

“Sementara itu, kebenaran Pihak Berkuasa Negeri untuk melaksanakan Program PANTAS bagi Kg.Tagudon di kawasan Moyog Penampang diterima pada 3 Julai lepas.

 

“Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kawasan berkenaan bagi memulakan penyukatan tanah,” katanya pada sesi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.

 

Nizam menjawab soalan lisan Datuk Ewon Benedick (PH-Kadamaian) yang bertanya berapakah peruntukan disediakan untuk PANTAS dan adakah kampung dalam kawasan DUN Kadamaian serta DUN Moyog akan terlibat dalam program itu pada tahun ini dan tahun depan.

 

Nizam berkata, secara keseluruhannya Program PANTAS berjaya menyelesaikan pengukuran 31,518 lot tanah Anak Negeri dengan keluasan 46,285.411 hektar hingga 31 Mei lepas melibatkan 145 buah kampung yang terletak di 22 daerah seluruh negeri.

 

Beliau berkata, bagi daerah Telupid, Jabatan Tanah dan Ukur selesai menjalankan pemeriksaan ke atas empat buah kampung yang didapati sesuai untuk dilaksanakan PANTAS.

 

Katanya kampung itu ialah Kampung Ansuan, Kampung Wonod, Kampung Buis dan Kampung Buto.

 

“Kebenaran untuk melaksanakan Program PANTAS bagi keempat-empat kampung berkenaan diperolehi pada 28 Jun lepas.

 

“Pada masa ini, Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kampung berkenaan untuk memulakan pengukuran tanah,” katanya.

 

 

Hozzászólások


bottom of page