250 keluarga, 5 sekolah penampang terima bantuan banjir YBR
2 Ogos 2024
PENAMPANG: Kira-kira 250 keluarga di sekitar Penampang dan 5 buah sekolah yang terkesan akibat banjir menerima bantuan tunai dari Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Setiap keluarga mangsa banjir menerima RM200 manakala sekolah yang terkesan menerima RM10,000.
Majlis penyerahan bantuan YBR berjumlah keseluruhan RM100,000 kepada mangsa banjir dan sekolah yang terjejas itu telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick di Dewan Huguan Siou, Tuavon di sini, semalam.
Turut hadir dalam majlis penyerahan bantuan ini ialah Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong; Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Ag Mohd Kadir Ag Kanak dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Ewon berkata, usaha murni ini diharapkan dapat memberikan sedikit kelegaan buat mereka yang terkesan dalam meringankan urusan kewangan keluarga.
Begitu juga agar sesi persekolahan yang bakal memasuki penggal kedua dapat diteruskan dengan lancar oleh pihak sekolah.
“Bantuan khas ini diberikan kepada setiap keluarga serta sekolah yang telah dikenalpasti terjejas di dalam musibah banjir melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen P.174 Penampang bagi memudahkan proses pengagihan bantuan”.
“Terima kasih kepada pihak YBR kerana menyantuni mereka yang terkesan dan diharapkan peruntukan yang disalurkan dapat digunakan sebagai bantuan pasca banjir bagi meneruskan kehidupan harian seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu di majlis yang sama, Philip berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberikan sedikit kelegaan buat mereka yang terkesan dan membantu ketua keluarga yang terjejas.
Katanya pihak YBR akan mengusahakan lebih banyak bantuan lagi bagi meringankan beban mereka yang terkesan.
Comments