top of page
nabalunews

260 mangsa kebakaran Kg Jati terima bantuan kewangan


11 Disember 2024


Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seramai 260 mangsa kebakaran di Kampung Jati, Batu 5, Jalan Apas, di sini yang tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian 27 Oktober lalu, menerima bantuan kewangan daripada Perdana Menteri di program menyantuni mangsa kebakaran tersebut di Pasar Batu 5, hari ini.


Sumbangan kewangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai sokongan untuk meringankan bebanan mangsa kebakaran yang kehilangan harta-benda dalam insiden itu.


Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat sedikit sebanyak meringankan beban para mangsa, di samping mempercepatkan proses pemulihan selepas ditimpa bencana.


Azman juga berharap menerusi usaha semua pihak, mangsa terlibat dapat bangkit semula dan menjalani kehidupan yang lebih baik.


“Kami memahami kesukaran yang dialami oleh para mangsa kebakaran dan inisiatif ini adalah salah satu cara untuk menunjukkan solidariti dan sokongan kita kepada mereka,” katanya kepada media.


Sempena program tersebut, penduduk setempat yang hadir turut mengambil kesempatan berinteraksi dengan para pemimpin dan pegawai yang hadir.


Dalam kejadian 27 Oktober lalu, 38 rumah jenis tidak kekal membabitkan luas keseluruhan 1.57 ekar musnah terbakar 100 peratus.


Insiden itu turut meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditemui rentung pada jam 4.50 pagi.

Comments


bottom of page