top of page
nabalunews

287 kes kematian akibat lemas setakat Disember, JBPM gesa kesedaran risiko air ditingkatkan




 

18 Disember 2024

 

KUALA TERENGGANU: Statistik kes kematian akibat lemas amat membimbangkan apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 287 kes setakat Disember tahun ini, dengan majoriti mangsa berusia antara 20 hingga 39 tahun. 

 

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, menyatakan bahawa mangsa dalam lingkungan umur tersebut menyumbang 38% daripada keseluruhan kes, diikuti golongan berumur 7 hingga 19 tahun (29%) dan 40 hingga 59 tahun (21%). 

 

"Setiap tahun kes lemas tidak menunjukkan penurunan ketara. Dan jumlah yang direkodkan agak membimbangkan, dengan kes paling tinggi dicatat pada Februari dan Oktober lalu. Kita berharap baki dua minggu terakhir ini tiada lagi kes dan kematian akibat lemas direkodkan," katanya lapor Astro Awani.

 

Beliau turut menekankan bahawa kawasan sungai, tali air, dan pantai mencatatkan jumlah kematian tertinggi. 

 

Sehubungan itu, Nor Hisham mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada semasa menjalankan aktiviti air, terutama ketika Monsun Timur Laut masih berlangsung. 

 

"Masyarakat perlu meningkatkan tahap kesedaran mengenai risiko di air termasuk pemakaian jaket keselamatan sepanjang melakukan aktiviti air," ujarnya. 

 

Menurutnya, JBPM telah melaksanakan pelbagai pendekatan bagi mengurangkan statistik kes lemas, namun kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan untuk memastikan tragedi ini dapat dielakkan. 

Comments


bottom of page