2TM: Rakyat Semakin Memahami Aspirasi Kerajaan MADANI - KSN
25 November 2024
KUALA LUMPUR: Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang meraih sambutan memberangsangkan dengan kehadiran pengunjung melebihi sasaran, membuktikan rakyat semakin memahami aspirasi Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Katanya kehadiran pengunjung pada program tiga hari bermula Jumaat lalu dan berakhir pada Ahad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu melebihi sasaran 230,000 kerana beliau difahamkan lebih 300,000 pengunjung direkodkan setakat 4.25 petang Ahad.
“Ini adalah satu pencapaian yang baik di mana rakyat sudah mula mendekati dan memahami aspirasi kerajaan MADANI yang dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup program itu.
Antara yang mendapat sambutan luar biasa pada program bertemakan 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni' itu ialah tawaran penyelesaian saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diskaun hingga 60 peratus dan penukaran topi keledar lama kepada baharu secara percuma.
Orang ramai dilihat mula beratur seawal 7.30 pagi meskipun kaunter dibuka 9 pagi selain reruai kementerian dan agensi lain yang turut dipenuhi pengunjung.
Selain itu, Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas, barangan kebersihan diri dan bakul kombo buah dan sayur dengan potongan harga menarik juga tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.
Comments