top of page
nabalunews

3,602 penjawat awam diisytihar bankrap sejak empat tahun lalu




7 November 2024

 

KUALA LUMPUR: Sejumlah 3,602 kes kebankrapan melibatkan penjawat awam direkodkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dalam tempoh empat tahun sehingga September tahun ini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, sebanyak 666 kes dicatatkan pada tahun ini sahaja.

 

“Sebanyak 628 kes direkodkan pada tahun 2013, 621 kes (2022), 678 kes (2021), dan 1,009 kes (2020). Kerajaan memandang serius masalah muflis dan keterhutangan dalam kalangan penjawat awam,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian) mengenai langkah-langkah untuk mengatasi masalah muflis dalam kalangan penjawat awam.

 

Azalina menjelaskan bahawa ketua jabatan bertanggungjawab memantau dan menilai keupayaan kewangan pegawai yang mempunyai keterhutangan serius untuk membayar hutang dari semasa ke semasa, selaras dengan Peraturan Berkaitan Penyelenggaraan Taraf Kehidupan dan Keterhutangan Kewangan yang Serius.

 

Menurutnya, peraturan itu menetapkan had potongan gaji, di mana pendapatan bersih pegawai awam harus kekal sekurang-kurangnya pada 40 peratus daripada emolumen bulanan, kecuali bagi pinjaman perumahan dan pendidikan.

 

“Antara peranan Unit Integriti adalah memantau pegawai yang menghadapi keterhutangan kewangan serius berdasarkan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” tambah Azalina.

 

Beliau turut menyatakan bahawa penjawat awam terlibat akan diberikan bantuan kaunseling kewangan untuk membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih baik, sekali gus mengelakkan situasi muflis dan tindakan tatatertib.

Comments


bottom of page