3 termasuk bapa dan anak rentung dalam kebakaran di Pitas
1 Aug 2024
KOTA MARUDU : Tiga termasuk seorang bapa dan anak perempuannya rentung manakala tiga lagi cedera dalam kebakaran di Kampung Blok 5, Pitas, awal pagi tadi.
Mangsa yang terkorban dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu adalah dua beranak iaitu Abdul Malik Mad Tasin, 50-an dan anak perempuannya, Nur Adriana Qistina, 11.
Turut terkorban, seorang lagi ahli keluarga dikenali Salleh Onding, 60-an.
Manakala tiga mangsa terselamat iaitu isteri Abdul Malik dikenali Afnah Tundan dan dua lagi anak mereka, Nur Ika Afmaleena dan Nurattyqah.
Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Kudat, Kamarudin Sogon berkata, kesemua mayat mangsa ditemui di kawasan dan pada waktu berbeza di rumah terbabit.
"Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan pada jam 3.27 pagi di ruang tamu manakala mayat bapanya pula ditemukan pada jam 3.40 pagi di ruangan dapur.
"Seorang lagi mangsa ditemukan pada jam 4.26 pagi di bilik air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Media sebelum itu melaporkan, tiga termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditemukan rentung manakala tiga lagi cedera dalam kejadian kebakaran rumah di kampung tersebut.
Kebakaran yang bermula kira-kira jam 2 pagi itu turut menyebabkan dua kenderaan jenis Perodua Kembara dan Proton Waja terbakar 100 peratus.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.19 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 65 kilometer dari BBP Kota Marudu.
Kebakaran berjaya dikawal jam 3.25 pagi manakala operasi ditamatkan jam 6.36 pagi.
Punca kebakaran masih disiasat.
Bình luận