top of page
  • Wartawan Nabalu News

300 pelajar B40 di Pitas terima bantuan persekolahan YBR


12 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PITAS: Seramai 300 pelajar B40 daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Dandun, dan SK Pandan Mandamai, Pitas telah menerima Bantuan Persekolahan berupa beg sekolah dan wang tunai tajaan Yayasan Bank Rakyat (YBR).


Majlis penyerahan bantuan yang disempurnakan oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang itu diharapkan dapat menyuntik semangat para pelajar untuk terus berusaha dalam mencari ilmu.


“Diharapkan bantuan ini dapat menyuntik semangat setiap pelajar untuk meneruskan usaha dalam mencari ilmu demi membantu mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik.


“Walaupun jumlah bantuan ini kelihatan sedikit, namun ia diharap dapat dijadikan sebagai token tambahan di atas usaha yang sedang dijalankan oleh pihak kerajaan kepada para pelajar di seluruh Malaysia,” katanya dalam ucapan beliau semasa majlis tersebut di dewan Kg Dandun, Pitas baru-baru ini.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing.


Dalam pada itu, beliau juga yakin bahawa usaha yang dibawakan oleh YBR ini akan memberikan contoh yang baik kepada agensi lain dalam membantu anak-anak yang memerlukan sokongan dalam urusan persekolahan.


Terdahulu, dalam ucapan beliau, Philip juga menekankan bahawa pendidikan adalah instrumen penting dalam membina negara yang sejahtera.


“Usaha memajukan pendidikan di Malaysia ini bukan lagi satu perkara yang asing kerana kita semua tahu bahawa pendidikan merupakan sebuah instrumen yang penting dalam membina negara yang sejahtera.


“Oleh yang demikian, YBR sebagai organisasi bukan berkeuntungan yang memberi daya sokongan kewangan terhadap pendidikan berasa terpanggil dalam usaha untuk merealisasikan sistem pendidikan yang berkualiti demi membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.

“Kami juga turut menyediakan pelbagai program serta bantuan pendidikan yang mengkhususkan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk merasai suasana pembelajaran yang serba serbi lengkap,” jelasnya.


Beliau turut berharap agar bantuan ini dapat membuka mata agensi bukan berkeuntungan lain untuk bersama-sama memajukan anak bangsa agar dapat menyediakan sumber tenaga mahir untuk kemajuan negara.


Philip turut meramkan penghargaan kepada kakitangan Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Berhad atas kerjasama mereka dalam majlis penyerahan tersebut.

Comentarios


bottom of page