top of page
Wartawan Nabalu News

33 graduan menerima sijil KSPPH



30 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Inisiatif pembangunan modal insan menerusi Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan (KSPPH) Sesi 2023 Institut Perhutanan Sabah (IPS) yang diadakan di Rainforest Hall, RDC Sepilok, Sandakan hari ini adalah antara usaha Jabatan Perhutanan Sabah melalui Institut Perhutanan Sabah untuk melahirkan sumber tenaga kerja yang terlatih dalam bidang teknikal perhutanan bagi pelaksanaan kerja-kerja di lapangan.


Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan berkata tenaga kerja terlatih adalah aset penting sesebuah organisasi kerana mereka ibarat tangan dan kaki yang menggerakkan organisasi berkenaan.


Frederick menambah latihan yang melibatkan kakitangan yang dijalankan di IPS juga merupakan satu usaha yang murni kerana bukan sahaja dapat membantu dalam kemajuan kerjaya individu seperti mendapat kenaikan pangkat tetapi juga memberi manfaat langsung kepada organisasi dari segi peningkatan kualiti kerja dan penyampaian yang lebih baik kepada pelanggan.


Selain itu, beliau berkata bahawa usaha yang dibuat oleh Jabatan Perhutanan Sabah melalui IPS itu juga merupakan satu usaha yang sejajar dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dibawah inisiatif Pelan Pembangunan Modal Insan dan merupakan teras ke tiga dalam Malaysia Madani iaitu pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia.


Justeru, diharapkan dengan usaha dari Jabatan Perhutanan Sabah tersebut akan mendorong lagi kemajuan serta dapat memeta hala tuju Malaysia menjadi sebuah negara dan bangsa yang maju dan sejahtera.


Di Majlis Penganugerahan Sijil Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan (KSPPH) Sesi 2023 IPS hari ini, seramai 33 graduan menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Frederick.


Pada majlis sama, tiga graduan juga menerima Anugerah Akademik Cemerlang berdasarkan pencapaian graduan tersebut sepanjang menjalankan kursus di IPS, Telupid.


Selain itu, tiga graduan masing-masing menerima Anugerah Khas bagi Sportif, Kreatif dan Disiplin Terbaik.


Turut hadir, Timbalan Ketua Konservator Hutan Sabah (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr. Arthur Chung, Pengetua IPS, Muhammad Razali Mohammad, Timbalan Pengetua IPS, Fedelis Tangkim, mantan-mantan pengetua, ibubapa dan jemputan.


Institut Perhutanan Sabah dahulunya dikenali dengan Forest School (Sekolah Hutan - SH) pada tahun 1834 yang terletak di Batu 7, Jalan Labuk, Sandakan.


Seterusnya ia telah dipindahkan ke Sepilok dan diganti dengan Sekolah Latihan Kehutanan (SLK) Sepilok pada tahun 1974 dan kemudian seiring dengan kemajuan kemudahan yang ada sehingga pada tahun 1984 Sekolah Latihan Kehutanan Sepilok telah digariti nama kepada Sekolah Latihan Perhutanan (SLP).


Dalam tempoh 4 tahun seterusnya iaitu pada tahun 1989 Sekolah Latihan Kehutanan Perhutanan Sepilok telah dijenamakan semula kepada Institut Perhutanan Sabah (IPS) yang lebih dikenali dengan panggilan IPS yang terletak di Telupid dan terus beroperasi sehingga kini.


Sejak 1989, IPS telah berjaya melahirkan graduan seramai 956 orang dan jurnlah tersebut dapat dipecahkan kepada dua program iaitu graduan dari Kursus Sijil Renjer Hutan seramai 282 orang dan juga graduan dari Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan adalah seramai 674 orang.


Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan dan Kursus Sijil Renjer Hutan yang dilaksanakan oleh Jabatan ini juga dipersijilkan di bawah Standard Pensijilan ISO 9001:2015 (dahulunya ISO 9001:2008) semenjak tahun 2010 sehingga kini.


Sijil yang dikeluarkan ini juga disenaraikan dalam Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) dibawah seliaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).


Saya juga difahamkan bahawa Jabatan Perhutanan Sabah melalui IPS sudah mula mengorak langkah dengan sasaran mendaftar MQR (Malaysian Qualifications Registration) di bawah kawalan MQA.

Comments


bottom of page