2 Disember 2024
KOTA KINABALU: 36 syarikat di Sabah menerima Anugerah Sabah Trusted Brand Award (STBA) sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan jenama masing-masing tahun ini.
Anugerah itu disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib pada majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Sabtu lalu.
Menurut laporan Info X, program anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) itu menampilkan syarikat yang dikenal pasti berjaya membina jenama masing-masing daripada sejumlah syarikat yang diaudit bagi mendapatkan anugerah berkenaan.
Dalam ucapan perasmiannya, James berkata pengiktirafan kepada 36 syarikat itu menunjukkan kejayaan dalam usaha syarikat terbabit membina jenama yang kukuh dan dipercayai selain memberi gambaran jelas mengenai pentingnya komitmen terhadap kualiti dan kepercayaan pengguna.
“Anugerah STBA ini amat unik kerana ia terbuka kepada semua, tanpa mengira kaum, bidang, atau bentuk perniagaan. Ini adalah bukti bahawa Sabah adalah negeri yang meraikan kepelbagaian dan kemajuan secara inklusif.
“Namun, apa yang menjadikan pengiktirafan ini lebih istimewa ialah proses ketat yang dilalui oleh setiap syarikat untuk melepasi audit yang telah ditetapkan. Ini memastikan hanya jenama yang benar-benar cemerlang diberi penghormatan yang tinggi," katanya.
James menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta MyIPO, atas sokongan dan kerjasama mereka dalam menjayakan program-program yang menyokong pembangunan usahawan tempatan.
“Dengan adanya kerjasama strategik seperti ini, kita dapat memastikan perlindungan hak jenama tempatan dan memperkukuh kedudukan mereka di pasaran global,” katanya.
Turut hadir, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Walter Kenson; Timbalan Presiden Kebangsan MTPN, Abdul Malik Jamaran dan Yang Dipertua MTPN Sabah, Kevin Lo.
James berkata, anugerah seperti STBA memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk menjadi peneraju dalam pelbagai bidang perniagaan berdasarkan kekayaan sumber daya dan kepelbagaian budaya negeri ini.
Sementara itu, Kevin berkata STBA adalah satu pengiktirafan yang inklusif, tidak mengira kaum, bidang, atau bentuk perniagaan.
Katanya terdapat sebanyak 126 syarikat yang dinominasikan oleh pengguna tahun ini, namun hanya 36 syarikat sahaja yang layak dinobatkan pengiktirafan ini menerusi proses audit yang ketat.
Ia bagi memastikan jenama-jenama ini memenuhi piawaian yang tinggi dalam integriti, kualiti, dan kepercayaan pengguna.
"Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah, kejayaan anda adalah inspirasi kepada para usahawan di seluruh Sabah,” katanya.
Comments