top of page
  • nabalunews

4,600 lokasi kawasan kerap banjir dikenal pasti di seluruh negara menjelang musim tengkujuh


4 Oktober 2024


PETALING JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti sebanyak 4,619 kawasan kerap banjir di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata, pemantauan banjir secara berterusan akan dijalankan oleh JPS dengan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), serta kerajaan-kerajaan negeri.


Dalam konteks ini, sebanyak 543 siren amaran banjir dan 737 pam mudah alih akan ditempatkan di seluruh negara.


Selain itu, JPS juga akan memantau keadaan empangan yang sudah melebihi usia 50 tahun, menurut Ahmad Zahid seperti dilaporkan Bernama.


Ahmad Zahid berkata projek mitigasi banjir di seluruh negara juga mesti dipantau secara teliti bagi memastikan tiada kelewatan dalam usaha mengurangkan kesan banjir.


Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat kali kedua bagi tahun 2024 di Kota Tinggi.


Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengenal pasti 8,481 pusat pemindahan sementara yang mampu menampung seramai 2.15 juta mangsa banjir.


Katanya MetMalaysia menjangkakan musim tengkujuh Monsun Timur laut akan bermula pada awal November dan dijangka berterusan sehingga Mac 2025.


Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca hujan dijangka berlaku di kawasan timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak mulai November hingga Disember tahun ini.


Sementara itu, dari Januari hingga Februari 2025 pula, Johor, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami keadaan cuaca lembap, dengan fenomena La Nina dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berlanjutan sehingga pertengahan 2025.


“Risiko banjir besar akan meningkat sekiranya hujan lebat monsun bertepatan dengan fenomena air pasang tinggi dan

luruan monsun.


Dijangkakan akan berlaku lima hingga tujuh luruan monsun, yang akan membawa hujan lebat dan berterusan, terutamanya di pantai timur Semenanjung, selatan dan barat Sarawak, serta utara dan timur Sabah.


Beliau juga menyatakan bahawa hujan dijangka berkurangan di utara Semenanjung bermula Januari 2025 diikuti oleh bahagian timur Semenanjung dari Februari.


Selepas itu, cuaca panas dan kering dijangka berterusan sehingga Mei.

Comments


bottom of page