4 cedera kereta dinaiki pekerja kuari jatuh gaung di Jalan Tanjung Batu Laut, Tawau
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

21 April 2025
TAWAU: Empat lelaki cedera selepas kereta pacuan empat roda Nissan Navara yang dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter di kawasan kuari Kukusan, Jalan Tanjung Batu Laut, di sini, hari ini.
Insiden itu berlaku dipercayai akibat kenderaan dinaiki empat pekerja kuari itu terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, kesemua mangsa berusia 31 hingga 46 tahun itu diberi rawatan awal oleh pasukannya sebelum dihantar ke hospital Tawau.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.42 petang menerusi MERS999.
"Terdapat empat orang mangsa terlibat mengalami kecederaan dalam insiden ini dan dikeluarkan oleh pekerja kuari sebelum ketibaan pasukan bomba,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dua daripada mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera EMRS, manakala, dua lagi menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jemishin berkata, operasi itu melibatkan sepasukan tujuh anggota BBP Tawau bersama dua jentera, diketuai PB Usman Shahbudin selaku komander operasi.
Operasi ditamatkan pada jam 2.07 petang selepas pihaknya memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Comentarios