4 geng curi kabel tumpas
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_cb6a1677053c4bfd80a7ba9c5491ddbd~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_cb6a1677053c4bfd80a7ba9c5491ddbd~mv2.jpg)
7 Februari 2025
LABUAN: Empat geng curi kabel di daerah ini tumpas selepas 12 individu berjaya ditahan dalam operasi sepanjang Julai 2024 hingga Januari tahun ini.
Semua kumpulan terbabit dikesan menjalankan aktiviti mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) yang mengakibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM88,290.
Antara kumpulan yang berjaya ditahan ialah Geng Bel Isham, Geng Salpau, Geng Fitri dan Geng Arshad berusia lingkungan 20 hingga 53 tahun.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_ee20ae6640f34019a73266183baea081~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_654,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_ee20ae6640f34019a73266183baea081~mv2.jpg)
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 12 laporan polis diterima membabitkan kes kecurian kabel.
Katanya, ia membabitkan masing-masing lima kes kecurian di Lubok Temiang dan Rancha-Rancha, satu kes di Bebuloh serta satu di Bandar Labuan.
“Semua suspek yang berjaya ditahan didapati positif pelbagai jenis dadah dan mempunyai kes jenayah lampau.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_8485d81a365a4dc883eb823e0a3d4990~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_8485d81a365a4dc883eb823e0a3d4990~mv2.jpg)
“Turut dirampas dua kenderaan, beberapa peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel serta kabel yang belum sempat dijual,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Mohd Hamizi berkata, sebahagian suspek sudah didakwa di mahkamah manakala selebihnya masih akan didakwa mengikut pelbagai akta termasuk Seksyen 414 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen.
Katanya, terdapat lima lagi individu yang dipercayai saki baki kumpulan ini masih diburu.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_7bf04109ea6142f3a7abcee3cbe95560~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_7bf04109ea6142f3a7abcee3cbe95560~mv2.jpg)
Sementara itu, pada sidang media sama, Mohd Hamizi berkata, sepanjang tahun 2024, pihaknya berjaya menahan 533 individu melibatkan pelbagai kesalahan Akta Dadah Berbahaya.
Katanya, 27 individu disiasat atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah, 425 individu positif dadah manakala selebihnya atas pelbagai lagi kesalahan dadah.
“Mengikut pecahan tangkapan pula melibatkan 485 lelaki dan 48 wanita manakala dadah yang dirampas adalah jenis syabu, ganja, ketamin, ekstasi dan pil eramin 5.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_71c6d9741f3544bca6fd390a353e5b00~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_71c6d9741f3544bca6fd390a353e5b00~mv2.jpg)
“Tangkapan terbaru dilakukan pada 3 Januari lalu membabitkan seorang lelaki dan wanita dengan rampasan 425.18 gram syabu,” katanya.
Comments