top of page
  • nabalunews

40 Rumah Mesra SMJ setiap DUN tahun depan


21 September 2024


SIPITANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengumumkan pembinaan 40 Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun hadapan, berbanding 20 rumah setahun sebelum ini.


Katanya, kira-kira 3,000 unit jumlah keseluruhan Rumah Mesra SMJ akan dibina pada tahun depan bagi membolehkan lebih ramai golongan miskin tegar belum memiliki rumah untuk diberikan bantuan itu.


“Sebelum ini kita beri setiap kawasan DUN sebanyak 20 Rumah Mesra SMJ untuk golongan miskin tegar, tapi pada tahun depan kita akan tambah daripada 20 kepada 40 buah rumah.


“Ini kerana kita tahu ramai lagi yang tiada rumah dan perlu kita bela. Kita akan usahakan 3,000 rumah tahun depan untuk mereka yang dalam kategori miskin tegar,” katanya.


Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin, di sini, hari ini.


Dalam lawatan ke Sipitang ini, Ketua Menteri turut menyerahkan kunci rumah SMJ kepada seorang penduduk, Irwan Bakir, 46 tahun di Kampung Guruh-Guruh di sini.


Ketua Menteri berkata, inisiatif itu bersama banyak lagi inisiatif lain termasuk berkaitan pembangunan modal insan hanya berlaku dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus.


Jelasnya, pelaksanaan inisiatif untuk manfaat rakyat itu sejajar dengan usaha berterusan kerajaan negeri pimpinannya dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.


Hajiji berkata, kerajaan pimpinan pembangkang sebelum ini tidak melaksanakan sebarang inisiatif yang menjurus kepada membela nasib rakyat kerana lebih menumpukan kepada mencari kesalahan kerajaan dan pemimpin terdahulu.


Sementara itu, Hajiji turut menyatakan keyakinannya terhadap potensi Sipitang untuk menjadi sebuah daerah yang maju berdasarkan kedudukannya yang strategik berhampiran Sarawak, Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan.


Ketua Menteri berkata, rakyat Sipitang juga bakal merasai limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan menerusi pembukaan kilang dan perniagaan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).


Katanya, kawasan perindustrian itu sudah penuh berdasarkan perjanjian yang ditandatangangi pelabur yang mahu membuka kilang dan perniagaan di kawasan berkenaan setakat ini.


“Di Sipitang ini rakyat kita perlu berbangga kerana kita ada SOGIP, sekarang kawasan tanah di SOGIP sudah penuh, banyak pelabur dari luar dan dalam negara sudah memeterai perjanjian untuk membuka kilang dan perniagaan di SOGIP.


“Hanya dalam kerajaan ini (GRS-PH Plus) pelabur ramai datang. Walaupun sekarang belum kita nampak, tapi dalam masa terdekat atau tahun depan pelabur dijangka akan memulakan membuka kilang di SOGIP.


“Sudah tentu manfaatnya rakyat Sipitang dapat. Jadi, memang

Sipitang ini mempunyai masa depan besar kerana kedudukan strategik, dekat sempadan Sarawak, Brunei dan Labuan. InsyaAllah kita akan berjaya,” katanya.

Commentaires


bottom of page