top of page
nabalunews

45,000 penduduk dipindahkan susulan letusan Gunung Berapi Kanlaon di Filipina




14 Disember 2024


MANILA: Kerajaan Filipina telah memindahkan lebih 45,000 penduduk dari kawasan berhampiran Gunung Kanlaon yang aktif meletus pada Isnin lalu, dengan rancangan untuk memindahkan sehingga 84,000 orang yang tinggal dalam zon bahaya sejauh enam kilometer dari gunung berapi itu.


Presiden Ferdinand Marcos Jr memberi jaminan bahawa kerajaan bersedia untuk membantu penduduk terjejas akibat letusan tersebut, yang telah mencemari sumber air minuman dan menyelubungi beberapa kampung dengan abu.


"Kami akan bertindak. Sebarang peningkatan kerosakan dan kemusnahan akan dihadapi dengan tindak balas lebih baik daripada kerajaan," kata Marcos.


Gunung Kanlaon, yang terletak di Pulau Negros antara wilayah Negros Oriental dan Negros Occidental, menghamburkan abu setinggi lebih 4,000 meter ke udara pada Isnin.


Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina memberi amaran bahawa letusan lebih besar mungkin berlaku, memaksa penduduk dalam zon bahaya berpindah ke kawasan selamat.


Presiden Marcos turut merayu kepada penduduk yang masih enggan meninggalkan rumah dan ladang mereka agar segera berpindah ke pusat perlindungan sementara, termasuk sekolah yang telah diubah menjadi tempat perlindungan.


Gunung Kanlaon, salah satu daripada 24 gunung berapi paling aktif di Filipina, kali terakhir meletus pada Jun.

コメント


bottom of page