top of page
nabalunews

46 PATI Indonesia dihantar pulang ke negara asal




30 November 2024


KOTA KINABALU: 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menggunakan feri Francis Express ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia melalui Terminal Feri Tawau, pada Jumaat.


Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata semua PATI itu sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Sandakan dan membabitkan seramai 41 lelaki dan lima wanita berusia lingkungan 18 hingga 74 tahun.


“Ini adalah program pemindahan siri 21 untuk kategori usir melalui laut ke negara asal masing-masing bagi tahun 2024.


“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.


SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.


Katanya, dalam tempoh dari Januari 2024 hingga kini, seramai 2,651 tahanan warga Indonesia sudah dihantar balik ke negara asal, menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang dihantar pulang mencecah 7,927 orang.


“Semua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.


SH Sitti Saleha berkata, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan jalinan hubungan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan asing di Malaysia.


“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot-depot imigresen di Sabah.


“JIM Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.


“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Comments


bottom of page